» » Tips Sembuhkan Luka Bersalin Dengan Cepat Supaya Jahitan Tak Terbuka Semula

Tips Sembuhkan Luka Bersalin Dengan Cepat Supaya Jahitan Tak Terbuka Semula

Assalamualaikum.

Selepas mengalami kesakitan bersalin, si ibu akan berdepan dengan cabaran semasa berpantang pula. Beruntung bagi mereka yang tak ada sebarang luka semasa bersalin. Bagi yang ada luka tak kiralah sama ada kecil atau besar, di bawah ini ada tips yang boleh diamalkan semasa dalam pantang.

Semoga dengan tips-tips ini dapat membantu sembuhkan luka bersalin dengan cepat. Barulah ibu-ibu dalam pantang ini tak risau jahitan luka mereka terbuka semula dan menyebabkan jangkitan pula.

Oh ya, tips-tips yang Mama kongsikan kali ini untuk ibu-ibu yang bersalin normal ya. InsyaAllah selepas ini Mama akan kongsikan untuk ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan pula.

tips rawat luka bersalin (1)

Tips Sembuhkan Luka Bersalin Dengan Cepat

 

1. Pastikan Luka Sentiasa Kering

Ini penting untuk mengelakkan jangkitan kerana bakteria senang merebak di kawasan yang lembap. Setiap kali selepas ke tandas, pastikan bahagian bawah tersebut dilap menggunakan tuala yang bersih.

Lap secara perlahan-lahan, ataupun lebih mudah jika tuala ditekap ke bahagian tersebut berulang-ulang kali. Kemudian, anginkan seketika untuk pastikan ianya benar-benar kering. Barulah disapukan ubat kuning dengan menggunakan putik kapas.

Jika susah nak nampak tempat jahitan, bolehlah minta suami sapukan (inilah masanya suami boleh berkhidmat untuk isteri setelah si isteri bersabung nyawa melahirkan anak). Ataupun, gunakan cermin kecil untuk tengok tempat jahitan.

 

2. Sentiasa Tukar Tuala Wanita

Tukar tuala wanita setiap kali ke tandas, ataupun setiap kali apabila terasa tuala sudah penuh. Pastikan seluar dalam juga selalu ditukar. Ini bagi mengelakkan jangkitan pada luka jahitan.

 

3. Rendam Dengan Air Garam

Dengar macam seram je kan? Sebenarnya cara ini memang bagus sebab garam bersifat antiseptik. Mula-mula je akan rasa pedih sedikit, tapi selepas itu akan rasa selesa.

Caranya, sediakan dulu besen yang boleh muat untuk diletakkan di dalam bahagian mangkuk tandas duduk. Campurkan 3 sudu garam ke dalam satu besen air suam. Kemudian, duduk dalam besen tersebut. Pastikan air garam tersebut kena pada luka jahitan.

Kalau di rumah tak ada tandas duduk, bolehlah gunakan kerusi/bangku. Tapi jangan duduk di atas lantai pula, nanti susah nak bangun.

 

4. Jangan Duduk Atau Baring Terlalu Lama

Ini untuk elakkan tekanan pada luka jahitan. Banyakkan bergerak dari keadaan duduk atau baring. Sentiasa tukar-tukar posisi secara perlahan-lahan. Ini juga bagus untuk pengudaraan bahagian tersebut.

 

5. Pemakanan Berkhasiat

Banyakkan memakan makanan yang kaya dengan protein untuk bantu luka cepat sembuh. Antaranya ialah banyakkan makan ikan dan ayam, tetapi elakkan makan daging merah kerana dikhuatiri menyebabkan sembelit.

 

6. Elakkan Sembelit

Kenapa kena elak dari sembelit? Bila sembelit, kita perlu meneran untuk mengeluarkan najis. Ini akan memberi tekanan pada luka jahitan dan ada kemungkinan luka jahitan akan terbuka.

Jadi, elakkan sembelit dengan banyakkan makan sayuran dan buah-buahan berserat. Banyakkan juga minum air suam, terutamanya bagi yang menyusukan anak dengan susu ibu.

Sebenarnya masalah sembelit ini memang biasa bagi ibu berpantang. Cuba lihat video di bawah yang menceritkan bagaimana si ibu ni trauma nak bersalin lagi disebabkan masalah sembelit masa mengandung.

Amalan Pantang Selepas Bersalin Elak Mimpi Ngeri Sakit Sembelit from iReach HD on Vimeo.

Salam sayang dari MamaBard,

Portfolio MamaBard

Leave a Reply

CommentLuv badge