Search
Search
Rezeki jodoh tersesat umpama bulan jatuh ke riba

Rezeki jodoh tersesat umpama bulan jatuh ke riba

Jodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia menjadi perancangan Allah SWT yang tidak ketahuan oleh sesiapa pun.

Namun sebagai manusia kita hanya mampu berusaha dan berdoa agar dipermudahkan jodoh. Selebihnya atas ketentuan Yang Maha Esa.

Uniknya tentang jodoh. Sesungguhnya ia menjadi rahsia Allah. Sememangnya telah ditetapkan jodoh oleh Allah setiap kita. Allah hanya akan mempertemukan kita dengannya sebaik sahaja kita benar-benar telah bersedia.

Tidak semua berpeluang dipertemukan jodoh semudah yang disangka. Adakalanya terpaksa menanti bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun percayalah bahawa setiap daripada kita punya jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Namun andai kata belum bertemu jua dengan jodohmu, mungkin belum masanya maka bersabarlah.

Banyak-banyakkanlah berdoa selain berusaha, selebihnya tawakallah kepada Allah moga-moga dipertemukan dengan jodoh yang baik-baik.

TAK SANGKA JODOH DATANG

Adakalanya jodoh datang tanpa disangka. Inilah yang dinamakan ibarat bulan jatuh ke riba. Sesungguhnya jodoh sudah punya ketetapan dari Yang Maha Esa.

Bagi yang bernasib baik, barangkali mudah sahaja untuk ketemu jodoh namun bagi mereka yang ‘liat’ jodohnya maka ada-ada sahaja halangan yang berlaku.

Bertuahnya mereka yang bertemu jodoh tanpa perlu bersusah-payah. Mungkin mereka inilah insan yang ‘terpilih’ kerana jodoh begitu mudah datang mendekat.

Berikut perkongsian Fatimazry Al-bukhari yang dipertemukan jodoh tanpa disangka. Kini sudah lebih setahun wanita ini bergelar isteri.

Fatimazry Al-bukhari bertemu jodoh dengan suaminya apabila suaminya ‘terselit’ dalam sekeping gambarnya dengan rakan sekelas di hari graduasi.

Ketika itu masing-masing sedang konvo namun mereka tidak pernah kenal/jumpa antara satu sama lain walaupun study kolej yang sama.

“Sekarang tak tau macam mana tersesat termasuk dalam hidup saya. Cantik rahsia Allah aturan Allah. Bila dah jodoh tu macam mana cara pun Allah tetapkan…Alhamdulillah.. In Sha Allah akan sama-sama memperbaiki diri masing-masing.”
Semasa konvo…saya diploma awak degree..

Mengimbau kembali kisah pertemuannya, kisah bermula ketika Fatimazry konvo pada tahun 2015. Ketika majlis konvokesyen, dia mengambil gambar bersama rakan sekelas. Pada keesokan harinya, dia update gambar di Facebook.

Si dia meninggalkan komen kerana ada gambar dirinya di dalam gambar tersebut. Bermula dari situlah mereka saling berbalas komen dan dilanjutkan lagi dengan chat di Facebook.

KENAL PUN TAK SEBELUM INI

Sebenarnya walaupun mereka satu kolej yang sama dan merupakan rakan dalam Facebook namun mereka tidak pernah berjumpa. Malah mereka sendiri tidak tahu yang mereka satu kolej. Fatimazry tinggal di Langkawi manakala si dia di Kuala Lumpur.

Ketika Fatimazry menemani sepupunya di Kuala Lumpur untuk membeli barang perkahwinannya, kebetulan si dia ada ketika itu. Maka dialah yang menjemput dan menghantar Fatimazry ke rumah sepupunya.

Tidak seperti pasangan bercinta yang lain, mereka tidak pernah declare yang mereka bercinta. Cuma…mereka selalu berwhatsapp bertanyakan tentang diri masing-masing.

Tidak lama kemudian si dia datang ke Langkawi bersama sepupunya untuk bercuti. Fatimazry tolong si dia dan sepupunya cari kereta sewa.

Sebenarnya sama ada Fatimazry mahupun si dia tidak pernah tahu bagaimana mereka boleh rapat sehinggalah si dia membuka mulut untuk meminang Fatimazry. Sebelum itu si dia ada datang berjumpa dengan ibu bapa Fatimazry.

Allah mempermudahkan urusan mereka berdua. Tanggal 15 April 2017, mereka bertunang. Oleh kerana hubungan mereka hubungan jarak jauh, Fatimazry di Langkawi manakala si dia bekerja di Kuala Lumpur maka boleh dibilang dengan jari berapa kali mereka berjumpa.

Pasangan ini akhirnya selamat disatukan pada 8 September 2017 diikuti majlis resepsi pada 9 September 2017. Mungkin inilah yang dinamakan keajaiban jodoh sesat. Memang tidak disangka-sangka, jodoh datang bergolek di depan mata.

Bagi Fatimazry dan pasangannya, minta didoakan agar mereka segera dikurniakan cahaya mata. Moga pasangan ini kekal bahagia hingga ke syurga. Aamiin….

Penulis: Fatimazry Al-bukhari
Sumber: https://kashoorga.com & Siti Zurina Mat Saman

MahligaiCinta