Search
Search
Jodoh ekspress dalam sebulan perkenalan

Jodoh ekspress dalam sebulan perkenalan

SELEPAS melalui beberapa fasa percintaan melukakan termasuk putus disebabkan tiada restu, Syuhada Aina Jamil, 30 tidak menyangka sapaan sang suami menerusi akaun Instagram berakhir ke jenjang pelamin.

Ibu dua cahaya mata perempuan, Auni Irdina dan Aireen Irdina itu menyifatkan jodoh ‘ekspres’ bersama pasangannya, Mohd Arif Isyad Hashim, 33, bukan cerita fantasi mengenai temu janji atas talian.

Katanya, perkenalan dengan suami bermula di akaun Instagram, beralih ke aplikasi WeChat dan seterusnya bertukar-tukar nombor terus kepada perancangan berkahwin dalam tempoh sebulan perkenalan.

“Saya ketika itu masih bekerja selain dalam fasa ‘murung’ disebabkan baru putus cinta dengan bekas teman lelaki. Maklumlah sudah lama bercinta dan merancang untuk berkahwin, tetapi ibu pasangan saya ketika itu tidak memberikan restu.

“Biasalah kami putus dan saya cuba alih rasa sunyi dengan sibukkan diri dengan kenalan dalam Instagram. Jadi waktu lapang, saya suka tengok gambar orang dan salah satunya ‘post’ dan ‘caption’ suami.

“Kadangkala dibalas dan saya jadi ‘pengikut’ di akaunnya begitu juga dia. Ketika itu saya selalu ‘klik’ tanda suka pada gambar dan kemudian tanya di mana dia rakam, kemudian dia mula balas mesej saya.

“Suami pun sama, dia juga selalu tengok gambar dan ‘klik’ tanda suka. Beberapa ketika dia minta untuk bersembang di aplikasi WeChat. Dari WeChat dia minta nombor telefon dan kemudian mula mengatur temu janji. Saya layankan sahaja kerana ketika itu saya tiada komitmen dan pada mulanya hanya untuk berkawan semata-mata,” katanya.

Sebaik ditanya sejak bila dia mula mengesan suaminya itu serius untuk menyuntingnya menjadi ‘suri’, kata Syuhada ada kisah lucu sebenarnya pada pertemuan pertama kali. Suaminya ‘menguji’ dirinya terlebih dahulu sebelum memutuskan dia sebagai calon.

“Ketika saya bertemu suami, dia bawa kereta Kancil lama pergi bertemu janji sedangkan dia ada kereta elok dan lebih selesa. Serius saya tidak kisah kerana pada ketika itu niat sekadar untuk berkenalan.

“Lucunya Kancil dia rosak ketika kami berhenti rehat di masjid berhampiran Pantai Batu Buruk, Terengganu. Jadi terpaksa minta bantuan orang masjid.

“Dia ajak saya berkahwin dan saya terima niat itu hanya sebagai kata gurauan. Tidak sangka selepas itu dia terus bawa saya bertemu orang tuanya termasuk adik-beradik. Mereka sangat baik.

“Mungkin penerimaan mereka yang sangat mesra dan layan saya dengan baik menggerakkan hati untuk serius dengan ‘lamaran’ pantas. Proses perkahwinan juga pantas disebabkan dia buat persiapan termasuk ketika itu dia sudah beli rumah dirancang tinggal selepas berkahwin.

“Boleh dikatakan sokongan keluarga baik dia atau saya faktor mendekatkan jodoh selain niat dia yang benar-benar ikhlas mahu memperisterikan saya,” katanya.

Mengenai ciri-ciri suami disukai sejak pertama kali jumpa, kata Syuhada Aina, suaminya itu jenis berterus terang dan tidak berselindung membuatkan dia senang.

“Mula kami kenal dia sudah cakap hendak cari isteri orang Terengganu. Saya Kuala Terengganu dan suami Setiu jadi itu membuatkan dia yakin dengan pilihan.

“Sikap suami yang bertanggungjawab termasuk berkorban untuk keluarganya iaitu membiayai pengajian sehingga adik-beradik lain berkahwin, baru dia berkahwin membuatkan saya yakin,” katanya.

Sama ada perkenalan sosial menjanjikan alam perkahwinan ibarat kisah dongeng percintaan yang manis, kata Syuhada Aina, fasa ‘mengenali’ masing-masing adalah dalam tempoh setahun sebaik sahaja berkahwin.

“Tipulah tiada cabaran kalau berkahwin ‘ekspres’ ini. Saya dan suami masing-masing memang stres pada tahun pertama maklumlah tidak kenal hati budi dan perangai masing-masing. Jadi kami cuba berkomunikasi dan menyesuaikan diri.

“Pada tahun kedua baru kami tahu macam mana hendak kendali emosi dan perangai masing-masing. Penting kena ada komunikasi dan memahami antara satu sama lain,” katanya.

Fokus terhadap keluarga, kata Syuhada Aina, meskipun menjadi suri rumah sepenuh masa, dia membantu meringankan bebanan suami dengan perniagaan kek dari rumah.

Penulis: Syuhada Aina
Sumber: https://www.hmetro.com.my

MahligaiCinta